
 
KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim 
(JDT) melakar sejarah baharu bola sepak tanah air selepas muncul pasukan
 pertama dari Malaysia menjuarai Piala Konfederasi Bola Sepak Asia 
(AFC).
 Jaringan tunggal perancang tengah dari Argentina, Leandro Velazquez 
pada minit ke-22 sudah cukup bagi skuad Harimau Selatan menundukkan 
juara bertahan Liga Tajikistan, Istiklol FC pada aksi final di Stadium 
Republican Central di Dushanbe, Tajikistan, malam ini.
 Pencapaian itu sekali gus, mengubat kekecewaan mereka yang gagal 
melepasi saingan peringkat kumpulan dalam penampilan sulung pada 2009, 
yang ketika itu dikenali sebagai Johor FC.
 Selaku juara, JDT membawa pulang trofi Piala AFC yang disampaikan 
sendiri oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, 
selain wang tunai berjumlah US$350,000 (RM1.502 juta), manakala Istiklol
 FC meraih US$250,000 (RM1.072 juta) selaku naib juara.
 Lebih manis, kapten JDT Safiq Rahim dinobatkan sebagai pemain paling 
bernilai, manakala kapten Istiklol FC, Vasiev Dilshod dipilih sebagai 
pemain terbaik perlawanan akhir.
 Kejayaan berkenaan merupakan trofi ketiga yang diraih JDT musim ini, 
selepas muncul juara Piala Sumbangsih (Piala Sultan Ahmad Shah) menerusi
 kemenangan 2-0 ke atas Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin 
pada 31 Jan lepas, selain menjuarai Liga Super 2015.
 Beraksi di atas padang tiruan malam ini, nyata memberi kelebihan kepada
 pasukan tuan rumah yang menguasai babak awal perlawanan dengan 
melakukan beberapa percubaan berbahaya ke arah pintu gol JDT, namun 
ketumpulan jentera serangan menyaksikan mereka gagal meraih sebarang 
gol.
 Nasib sebaliknya menyebelahi skuad Harimau Selatan yang berjaya 
mengejutkan pasukan tuan rumah apabila membuka tirai jaringan pada minit
 ke-22 menerusi Velazquez, sekali gus menggembirakan hampir 500 
penyokong skuad Harimau Selatan yang turut hadir memberikan sokongan.
 Gol berkenaan berpunca daripada sepakan penjuru Safiq yang ditampan 
keluar oleh penjaga gol tuan rumah, Nikola Stosic sebelum Velazquez 
meluru sebelum melepaskan rembatan kaki kiri daripada luar kotak 
penalti.
 Tersentak dengan gol itu, Istiklol FC kembali memperkemaskan permainan 
untuk memburu gol penyamaan namun kekebalan benteng pertahanan JDT 
diketuai Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Marcos Antonio menyaksikan 
keputusan 1-0 itu kekal sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.
 Bersambung separuh masa kedua, pasukan tuan rumah meneruskan serangan 
ke arah kubu JDT, dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-51 
menerusi Dzhalilov Manuchehr Jalilov, namun jaringannya dibatalkan 
pengadil, Minoru Tojo dari Jepun selepas Dilshod berada pada kedudukan 
ofsaid.
 Jalilov sekali lagi, berjaya menjaringkan gol penyamaan pada penghujung
  perlawanan, namun Minoru tidak membenarkan gol berkenaan kerana pemain
 itu berada pada kedudukan ofsaid, dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga 
wisel penamat.
 -- BERNAMA